KUALA LUMPUR 10 Julai – Seorang penjawat awam ditemukan maut dalam keadaan tergantung di tangga bangunan sebuah pejabat kerajaan di Petra Jaya, Kuching, Sarawak, semalam.
Menurut sumber kepada Utusan Borneo, mangsa yang hanya dikenali dengan panggilan ‘Fizi’ berusia 30-an itu kali terakhir dilihat sekitar pukul 11.30 pagi ketika minum pagi bersama rakan sekerjanya.
“Selepas itu, kira-kira pukul 1 tengah hari, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tergantung di tangga kecemasan oleh tukang cuci yang terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan.
“Beberapa anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
“Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











