PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meluahkan keyakinannya bahawa pasukan The Red Warriors (TRW) masih berpeluang untuk kekal dalam saingan Liga Premier pada musim depan.
Menurut Wan Abdul Rahim, ini kerana TRW hanya memerlukan empat mata sahaja lagi dalam tiga baki perlawanan musim ini untuk kekal dalam saingan tersebut.
Ketika ini, skuad bimbingan Yusri Che Lah itu masih berada dalam zon penyingkiran apabila menduduki tangga ke-10 dengan mengumpul 14 mata selepas 17 perlawanan.
Mereka masih berpeluang untuk menyelamatkan diri daripada diturunkan ke Divisyen 3 (M3) selepas hanya dipisahkan dua mata di belakang pasukan tangga ke-9, UKM FC dan empat mata mengatasi pasukan terbawah, Sarawak.
“Berpandukan kepada prestasi yang telah dipamerkan ketika ini, saya yakin Kelantan mampu mendapat empat mata itu.
“Selain itu, kita juga terus kekal fokus untuk memburu slot ke saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Wan Abdul Rahim turut berharap para penyokong TRW perlu banyak bersabar dan tidak ‘menghentam’ atau menyerang secara semberono kerana beliau baru sahaja dipilih menggalas tugas berkenaan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Sabtu lalu.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan itu berkata, para penyokong Kelantan perlu lebih rasional dalam membuat sebarang kritikan kerana masih terlalu awal untuk mereka mengukur kemampuannya yang baru tiga hari menerajui badan induk itu.
“Beri ruang kepada saya untuk menjalankan tugas. Sekiranya gagal, saya sedia berdepan dengan hentaman daripada penyokong,” katanya.
Menurutnya, antara langkah pertama yang akan dilakukan selepas ini ialah menyelesaikan isu tunggakan gaji yang sedang menghantui pasukan itu.











