ALHAMDULILLAH! Saya memanjatkan rasa syukur ke hadratnya-Nya kerana mengurniakan Malaysia seorang Perdana Menteri yang terus berdaya tahan dalam usianya yang mengijak ke-94 tahun hari ini, 10 Julai untuk memakmurkan kembali ekonomi Malaysia ke persadanya dan mengekalkan kestabilan politik sebuah negara yang didiami pelbagai kaum agama dan budaya ini.
Selamat Hari Jadi Tun.
Pengalaman luas memikul jawatan nombor satu kerajaan selama 22 tahun (1981-2003) sebelum ini membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menguruskan pengagihan jawatan Kabinet dalam kalangan parti DAP, PKR, PAN dan PPBM dengan cekap selepas berkuasa pada 9 Mei tahun lepas meskipun ada antara parti itu baru dikenalinya ‘luar dalam’ hanya dua tiga tahun sahaja menjelang PRU-14 lalu.
Hakikatnya, tempat beliau dalam sejarah tidak dapat diungkai lagi. Yakni, dalam sejarah tanah air sebagai pemimpin Melayu yang ulung dan bertahan lama sudah terpahat.
Beliau juga muncul sebagai pemimpin dunia ketiga yang berkaliber dan disegani. Tegas dengan banyak teori dan ideanya yang pada mulanya dianggap kontroversi tetapi ternyata benar dan membantu pendapat asalnya.
Kesanggupan Dr. Mahathir menerima semula mereka yang dahulunya bertembung politik dengannya juga menokok kewibawaannya sebagai pemimpin luhur.
Semua isu, hadangan dan rintangan politik dan ekonomi yang berjaya ditanganinya sepanjang tempoh 22 tahun selaku Perdana Menteri itu merupakan pengalaman berharga – yang sama ada dipraktikkan dan diperbaharui dalam mengetuai kerajaan yang berindukkan Pakatan Harapan.
Rekod dua kali Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia ini tidak akan mudah dipecahkan oleh orang yang duduk di pelana Perdana Menteri selepasnya.
Realitinya, nafas sesebuah parti politik bergantung kepada pimpinan dan perjuangannya. Bertelingkah, berselisih faham boleh menghasilkan perceraian antara suami isteri. Inikan pula dalam kalangan pemimpin politik.
Justeru, mengambil rasa penuh insaf dan kesyukuran negara dikurniakan seorang pemimpin yang berpengalaman luas dalam pentadbiran Malaysia, malah diiktiraf kewibawaannya di mata dunia terutama atas kelantangan, ketegasan dan tindakan keras terhadap pelaku gejala rasuah, marilah kita semua rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kesejahteraan Dr. Mahathir.
Kepada seluruh orang Melayu, sahutlah seruan Dr. Mahathir yang mahu orang Melayu menyertai Parti Bersatu demi mengelakkan perpecahan Melayu ke tahap mencederaparahkan.
Semoga Dr. Mahathir dianugerahkan-Nya kesihatan yang baik, idea serta kekuatan fikiran untuk membawa Malaysia kembali menginjak mercu kejayaan.- UTUSAN ONLINE











