KUALA LUMPUR 10 Julai – Memasuki usia genap 94 tahun hari ini, pencapaian mentadbir negara didiami pelbagai kaum yang dibuktikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam laluan penuh berliku dan cabaran getir disifatkan amat luar biasa.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pencapaian terbaik Dr. Mahathir secara keseluruhan adalah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa terutama melalui peningkatan ketara golongan miskin orang Melayu menjadi golongan pertengahan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merumuskan kepimpinan, pengalaman pahit di zaman penjajahan, sifat, keperibadian, minat yang cenderung ke arah sains dan teknologi, sikap sayangkan kepada orang-orang Melayu telah mendorong Dr. Mahathir membangunkan Malaysia daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara industri yang sangat membanggakan.
Berikut nukilan Mohd. Redzuan mengenai Pengerusi Parti Bersatu merangkap Pengerusi Pakatan Harapan tersebut:
1. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga digelar sebagai “Dr. M” dan nama penanya Che Det dilahirkan pada 10 Julai 1925, di Kedah. Beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik, keluarga Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah laki-laki Melayu di seberang Perak, Alor Setar untuk tempoh 2 tahun sebelum menyambung di sekolah kerajaan beraliran Inggeris di Alor Setar iaitu di Kolej Sultan Abdul Hamid.
2. Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.
3. Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui peningkatan golongan miskin menjadi golongan pertengahan orang Melayu begitu ketara. Walau bagaimanapun, beliau sering dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan tidak dapat lari dari tuduhan kronisme seperti pemerintah-pemerintah lain di dunia.
4. Selepas persaraannya, nama Dr. Mahathir terus terpahat sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia”, negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Seperti dijangka pada Oktober 2003, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia atas jasanya yang teramat besar pada nusa dan bangsa. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.
5. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957. Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.
6. Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli.
7. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr. Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.
8. Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.
9. Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr. Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September 1969, Tun. Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO. Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku “Dilema Melayu” (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya.
10. Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfoliopendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
11. Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.
12. Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi . Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2008 pada Mac 2009, Dr Mahathir menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan. Dr Mahathir kembali menyertai UMNO .Nombor ahli 0000001 dikekalkan.
KRISIS PERLEMBAGAAN & KEJAYAAN
13. Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa mereka.
DASAR PANDANG KE TIMUR
14. Pada 8 Februari 1982, Dr. Mahathir telah mengumumkan Dasar Pandang Ke Timur semasa Persidangan “5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA” di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya agar sesuai dengan keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari Negara-negara Barat.
15. Tumpuan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas contoh-contoh yang harus di pelajari oleh rakyat Malaysia ialah dari segi kemajuan Jepun dan Korea Selatan dari segi ekonomi, pendidikan, kesenian dan kebudayaan. Ini kerana kemajuan kedua-dua negara ini adalah dipacu oleh kecekapan, kesungguhan, nilai-nilai estetika (bersungguh-sungguh, rajin, setia, hormat menghormati, menetapi masa) yang tinggi dalam cara hidup dan organisasi masyarakat Jepun.
16. Di antara tahun akhir persaraan Dr. Mahathir, beliau telah mengetengahkan masalah penuntut-penutut lepasan Universiti tempatan tentang penguasaan bahasa Inggeris mereka. Isu penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan orang-orang Melayu bukan sahaja menyebabkan orang-orang Melayu itu sendiri ketinggalan ke belakang dalam bidang sains dan Teknologi, malahan hilang daya saing ketika di temuduga bagi kekosongan jawatan oleh syarikat-syarikat multinasional yang melabur di Malaysia. Isu penguasaan bahasa Inggeris yang lemah ini juga dilihat dari aspek jurang pencapaian yang sangat besar di kalangan pelajar Melayu yang tinggal di bandar dan pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar. Tun Dr Mahathir Mohamad sangat percaya bahawa di dalam usaha untuk membenteras kaum Melayu daripada terus ketinggalan di dalam kedua-dua bidang sains dan teknologi, adalah menjadi kewajaran pihak kerajaan untuk memastikan kewujudan profil di kalangan pelajar-pelajar Melayu menunjukkan penguasaan bahasa kebangsaan yang tinggi disamping cekap dan mahir dalam bahasa Inggeris.
17. Asprirasi Dr. Mahathir ini menjadi realiti apabila Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Pada tahun 1993, iaitu sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan kepada Parlimen tentang Kajian Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia Keenam, beliau telah mengutarakan usul berkaitan dengan bidang pendidikan. Beliau menyatakan bahawa bidang pendidikan perlu dibina sebagai satu komponen yang penting dalam industri perkhidmatan dan akhirnya dinaik taraf kepada pendidikan bertaraf dunia dan menjadikannya sebagai industri eskport.
18. Keprihatinan Tun Dr Mahathir dalam bidang pendidikan ialah mengembangkannya menjadi salah satu daya penggerak ekonomi negara. Pada ketika itu, Malaysia telah dilanda krisis ekonomi yang teruk dan satu pelan tindakan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan mengurangkan kadar pengaliran matawang keluar Negara telah pun dibuat. Salah satu daripada punca pengaliran mata wang ringgit keluar negara ialah kos pembiayaan pendidikan bagi penuntut Malaysia di luar negeri. Kos tersebut termasuklah kos pembiayaan kapal terbang, sewa tempat tinggal dan elaun sara hidup. Rentetan daripada itu satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mempermudahkan penubuhan institusi pendidikan tinggi, penganugerahan ijazah dan memperakukannya. Kerajaan juga telah menggalakkan program berkembar di antara institusi pendidikan tinggi swasta dengan universiti-universiti terkenal luar negara. Ini termasuklah penubuhan Kampus-kampus cawangan dalam negara.
19. Dapat dilihat dengan jelas bahawa proses ini masih berjalan dan berterusan sehingga hari ini dengan kemungkinan IPTS mengendalikan program ijazah itu sepenuhnya di dalam negara. Tun Dr Mahathir Mohamad semasa ditanya oleh wartawan apabila melihat kejayaan ini, beliau berkata bahawa konsep Malaysia menjadi hub kecermelangan pendidikan di rantau ini bukan sahaja memantapkan matlamat awal menjadikan pendidikan sebagai salah satu penjana ekonomi dan menarik pelajar-pelajar asing belajar di Malaysia, malahan Malaysia boleh dan mampu untuk mengeksport pendidikan keluar negara. Bagi Tun Dr Mahathir, kunci kejayaan ialah kawalan kualiti. Ini dapat dilihat dari petikan ucapan beliau semasa merasmikan International College, Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada Jun 1994 :
“We must be rigorous with regard to standards if we are to maintain the reputation of being providers of quality education. Our credibility must not be undermined. We are aware that if we are not sufficient vigilant, there is temptation that in the pursuit of quick profits, dubious arrangements will be resorted to and certificate mills will be set up. The behavior of a few can undermine the credibility of the whole nation, and the whole education industry will be brought into subsequent loss to everyone.”
20. Tun Dr Mahathir Mohamad sangat menekankan bahawa seseorang yang beragama Islam sepatutnya menjadi seorang rakyat di sebuah negara yang maju. Memetik ucapannya pada 18 April 2004 kepada sebilangan cendekiawan di Maghribi, beliau berkata tidak sepatutnya Negara-negara Islam yang ada sekarang ini berada pada tahap yang mundur dari segi ekonomi. Beliau telah menyingkap sejarah sarjana-sarjana Islam semasa di zaman kegemilangan Islam dahulu. Umat Islam sangat maju dalam pelbagai bidang umpamanya ilmu sains, pelayaran, perubatan, astronomi, matematik, falaq dan falsafah. Sehubungan dengan itu, Tun Dr Mahathir merasakan perlunya anjakkan paradigma mengenai pendidikan agama khususnya di Malaysia. Pada 1983 kerajaan telah menubuhkan sebuah IPTA yang berlandaskan Islam iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
21. UIAM merupakan salah sebuah universiti yang agak selalu diperkatakan di dunia Islam. Ini kerana antara tujuan UIAM ditubuhkan ialah untuk menghidupkan kembali konsep pembelajaran secara Islam dan meluaskan bidang pilihan kepada umat Islam dalam pengajian peringkat tinggi. Maka tidak hairanlah sebahagian daripada kos permulaan UIAM ini ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan beberapa negara Islam. Cadangan untuk menubuhkan universiti ini lahir pada awal tahun 1982, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk merancang dan menubuhkan Universiti Islam di Malaysia. Setelah dipersetujui kabinet, UIAM telah ditubuhkan secara rasmi pada 10 Mei 1983. Presiden pertamanya, Tun Hussein Onn telah dilantik pada 16 September tahun yang sama. Begitu juga dengan penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dahulu dikenali: Kolej Universiti Islam Malaysia, (KUIM) merupakan salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Malaysia pada 1998.
22. USIM merupakan sebuah Universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia di permulaan abad ke21. Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang ke-12 di negara ini dan didaftarkan dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia. Di antara tujuan penubuhan USIM ialah memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara dan menekankan penggunaan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan penyelidikannya. Penguasaan bahasa Arab dan Inggeris di samping bahasa kebangsaan juga menjadi tumpuan. Dalam usaha mempastikan matlamat tersebut terlaksana, USIM menetapkan syarat kemasukan kepada pelajarnya terhad supaya tumpuan khusus dapat diberikan untuk membina keterampilan, kebolehan dan displin serta keimanan yang jitu di kalangan pelajar. Dengan penubuhan UIAM dan USIM ini, nama Malaysia bertambah harum di kalangan Negara-negara Islam sedunia dan ianya dapat merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hub pendidikan di rantau ini. Bagi Tun Dr Mahathir, menuntut ilmu merupakan satu jihad berkaitan dengan pemikirannya dalam usaha untuk menggalakkan umat Islam seluruhnya dan umat Islam di Malaysia khususnya supaya menguasai ilmu dalam segala bidang.
23. Bagi Tun Dr Mahathir, tanpa ilmu pengetahuan ummah tidak akan dapat mempertahankan diri daripada pencerobohan musuh. Tanpa ilmu juga ummah tidak akan berjaya menguruskan negara dan menjana ekonomi dengan baik. Dalam ucapan beliau di Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam pada Januari 2002, Tun Dr Mahathir berkata betapa umat Islam telah ditinggalkan oleh arus Revolusi Industri di Barat bila pemikiran kita tertutup bukan sahaja kepada ajaran atau pendapat kumpulan lain berkenaan dengan agama, tetapi juga kepada keadaan dan perkembangan di sekeliling, baik perkembangan dalam bidang ilmu atau ideologi atau peningkatan kebolehan manusia dalam bidang-bidang lain. Beliau di dalam ucapannya antara lain menegaskan bahawa:
24. Justeru itu penguasaan ilmu sains dan teknologi dan perolehan hasil daripada ilmu-ilmu ini juga adalah jihad, bahkan lebih baik daripada mereka yang secara buta tuli menyerang musuh dan mengundang malapetaka kepada umat Islam yang lain”
MENCIPTA SEJARAH KEDUA
25. Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16hb Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun. Beliau dikenali sebagai “Bapa Pemodenan” di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden. Tun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Walau bagaimanapun, pada tahun 2016, Tun Dr Mahathir muncul kembali di alam politik apabila beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk menandingi Barisan Nasional. Pada tahun 2018, dalam satu kejutan politik, PPBM dan parti-parti bersekutunya, memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14. Pada usia 93, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7 Malaysia.
26. Dapat disimpulkan bahawa kepimpinan, pengalaman pahit di zaman penjajahan, sifat, keperibadian,minat yang cenderung ke arah sains dan teknologi, sikap yang sayangkan kepada orang-orang Melayu telah mendorong beliau membangunkan Malaysia daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara industri adalah sangat membanggakan. Keberanian beliau yang sangat luar biasa telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia serta mendapat pengiktirafan daripada pemimpin-pemimpin dunia yang lain. Beliau sangat berbeza berbanding dengan 3 Perdana Menteri Malaysia yang lepas yang mana masing-masing mendapat pendidikan dan pendedahan daripada luar negara.
27. Dr. Mahathir benar-benar menunjukkan contoh teladan dengan beliau sendiri adalah seorang graduan tempatan yang telah berjaya memimpin Malaysia ke tahap kini. Beliau mempunyai pendekatan yang sangat berbeza dan tidak mahu rakyat Malaysia mempunyai nilai kebergantungan yang tinggi kepada model pendidikan British atau Barat.
Selamat hari jadi Tun. – UTUSAN ONLINE











