KAJANG – Seorang pemandu lori nekad merempuh tembok plaza tol bagi mengelak daripada lori yang dipandunya melanggar kenderaan lain dalam kejadian di Plaza Tol Batu 9, Cheras, Lebuh Raya Cheras- Kajang (Grand Saga) di sini petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pemandu tersebut terpaksa melanggar tembok plaza tol apabila menyedari lorinya mengalami masalah brek.
“Pemandu berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi lorinya remuk di bahagian hadapan.
“Lori tersebut telah dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk proses pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak polis terpaksa mengeluarkan saman mengikut Rule 10 LN 166/59 kepada pemandu tersebut atas kesalahan gagal mengawal kenderaan yang dipandunya. – K! ONLINE











