Wanita Malaysia mengaku salah ugut pasangan Australia - Utusan Malaysia

Wanita Malaysia mengaku salah ugut pasangan Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE, Australia –  Seorang wanita Malaysia mengaku salah kerana menuntut sepasang suami isteri membayarnya A$1,000 (RM2,885) untuk mengembalikan sebuah telefon pintar mengandungi gambar bayi mereka yang telah meninggal dunia, lapor akhbar The Sun.

Siti Nurhidayah Kamal, 24, mengaku salah di Mahkamah Majistret Melbourne pada Isnin lepas  kerana mengugut Jay dan Dee Windross melibatkan sebuah telefon Samsung Galaxy 8.

Telefon pintar itu menyimpan gambar bayi mereka yang berusia 11 bulan bernama Amiyah yang sakit sejak dilahirkan dan doktor-doktor memberitahu bahawa dia tidak dapat diselamatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut akhbar Mirror, Siti Nurhidayah memeras ugut pasangan suami isteri itu, 21 minit selepas Amiyah meninggal dunia.

Siti Nurhidayah dilaporkan menghantar mesej menggunakan aplikasi WhatsApp menyatakan: “Tolonglah, saya merayu kepada kamu. Saya tidak mahu menjual (telefon tersebut) dan memadamkan semua memori kamu. Saya berjanji kepada kamu, saya seorang yang jujur”.

Pasangan itu secara tidak sengaja tertinggal telefon itu di dalam sebuah tandas di Pusat Beli-Belah Chadstone semasa cuti Hari Easter, lima hari sebelum Amiyah menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit saraf.

Jay dan Dee merayu kepada orang ramai supaya mengembalikan telefon pintar mereka menerusi media sosial.

Mereka berkata, Amiyah menghabiskan masa 200 daripada 300 hari semasa dia hidup di hospital dan peranti itu menyimpan gambar serta klip video detik mereka bersama.

Portal berita news.com.au melaporkan bahawa Siti Nurhidayah tampil dan menyatakan dia menyimpan telefon tersebut.

Walaupun sebenarnya tidak menyimpan telefon itu, dia menghantar mesej kepada pasangan tersebut untuk menuntut wang A$1,000 bagi mengembalikannya.

Pasangan Windross itu meluangkan masa pada malam terakhir Amiyah masih hidup untuk menghantar mesej teks kepada Siti Nurhidayah yang mempunyai dua orang anak di Malaysia.

Wanita itu berjanji akan meletakkan telefon pintar itu ke dalam peti surat pasangan tersebut tetapi mahu wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya terlebih dahulu.

“Bukan sahaja perbuatannya membazirkan masa saya tetapi ia mengganggu detik terakhir saya dengan anak perempuan saya. Telefon tersebut masih tidak dipulangkan,” kata Jay dalam akaun Facebooknya.

Bayi itu meninggal dunia pada April lalu.

Dalam pada itu, hukuman terhadap Siti Nurhidayah akan dibacakan  pada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh mahkamah berkenaan. – Agensi
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini