KUALA LUMPUR 9 Julai – YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) menafikan dakwaan yang dibangkitkan oleh Kementerian Pendidikan untuk menamatkan perkhidmatan projek 1BestariNet.
YTL menegaskan pihaknya tidak pernah memohon untuk diberi keutamaan khas bagi membekalkan perkhidmatan percuma yang diminta oleh kementerian tersebut.
Katanya, dakwaan kementerian bahawa terdapat kos tersembunyi adalah tidak berasas sama sekali kerana melalui tender yang dikemukakan bagi projek berkenaan, jelas dinyatakan harga yang ditawarkan menunjukkan kementerian akan menanggung kos bekalan elektrik kepada menara telekomunikasi.
“Tawaran kami telah dinilai oleh pihak kementerian dan dianggap tawaran paling kos efektif. Kementerian telah menerima perkara ini bagi fasa pertama dan fasa kedua.
“Malah, perjanjian fasa kedua dimeterai pada 2016 selepas kajian semula dan mengambil kira laporan Ketua Audit Negara 2013. Tidak ada sebarang kos tersembunyi. Pihak kementerian sudah sedia maklum akan perkara ini sepanjang masa kontrak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, YTL berkata, dakwaan bahawa kerajaan berpotensi untuk kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi juga tidak benar kerana tidak ada sebarang kehilangan pendapatan pada pihak kerajaan dan anggaran RM32 juta hanya spekulasi semata-mata.
“Adalah dipersetujui di dalam kontrak kami bahawa penyewaan tapak sekolah adalah ditentukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
“Menara-menara itu digunapakai oleh YTL sahaja. Kami tidak menyewa mana-mana bahagian menara kepada syarikat telekomunikasi lain. Oleh itu, tidak timbul isu pengkomersialan menara telekomunikasi.
“Dalam tempoh enam bulan interim, semua kadar sewa akan ditentukan oleh JKPTG dan akan ditanggung YTL agar tiada sebarang kehilangan pendapatan penyewaan berpotensi untuk kerajaan,” katanya.











