ABU DHABI 9 Julai – Seorang jutawan Emiriah Arab Bersatu (UAE) merancang untuk menunda sebuah bongkah ais dari Antartika sama ada ke Perth, Australia atau Cape Town, Afrika Selatan pada tahun ini yang dianggarkan menelan kos AS$80 juta (RM331 juta).
Daily Mail yang memetik Abdulla Alshehi sebagai berkata, misi itu adalah percubaan kepada projek lebih besar yang diharapkan dapat membawa bongkah ais berukuran 1.9 kilometer panjang x 502 meter lebar ke UAE.
Katanya, bongkah ais itu diharapkan dapat menyediakan bekalan air minuman kepada satu juta penduduk selama lima tahun, selain diyakini bakal menjadi tarikan utama pelancong ke negara ini.
Perjalanan kira-kira 8,800 kilometer yang dijangka mengambil masa selama 10 bulan dari Pulau Heard berhampiran Antartika ke pantai Fujairah bakal mengakibatkan kehilangan kira-kira 30 peratus daripada bongkah ais gergasi tersebut.
Dalam temubual bersama Inspire Middle East, Abdulla memberitahu, berdasarkan kajian yang dijalankan, beliau mendapati membawa pulang bongkah ais itu adalah jauh lebih murah berbanding menggunakan air penyahgaram.
“Ini kerana proses penyahgaram memerlukan modal pelaburan yang besar dan tindakan mengepam sejumlah besar air laut ke teluk boleh mengancam hidupan marin.
“Jadi kami yakin, proses ini adalah terbaik dari segi ekonomi dan lebih bersifat mesra alam kerana bongkah ais ini bukan hanya untuk kegunaan UAE sebaliknya seluruh dunia,” ujarnya.
Katanya, projek yang sama pernah dilakukan oleh Arab Saudi pada 1977, bagaimanapun projek itu gagal disebabkan masalah teknikal.
Kali ini katanya, beliau bercadang untuk menggunakan ‘tali sawat logam’ yang akan dipasang pada sekeliling bongkah ais itu sebelum ditarik menggunakan bot.
Abdulla yakin sejurus bongkah ais itu tiba, ia akan dipotong, ditapis dan diproses sebelum diletakkan di dalam tangki gergasi. – AGENSI











