JITRA – Cubaan seorang lelaki disyaki penyeludup daun ketum untuk melarikan diri daripada polis gagal apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok jati di Jalan Bukit Wang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang cedera pada kaki kiri dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dekat sini untuk mendapatkan rawatan.
Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 450 kilogram (kg) daun ketum di dalam kereta jenis Honda City itu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, dua anggota kereta peronda polis (MPV) yang sedang bertugas mengesan kereta tersebut dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti.
“Pemandu kereta itu enggan memberhentikan kereta dan terus memecut bagi mengelak ditahan polis.
“Anggota polis bertindak mengejar suspek sebelum kereta suspek didapati terbabas lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, suspek yang mengalami kecederaan pada kaki kiri akibat kemalangan itu dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans.
“Pemeriksaan lanjut menemui 20 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum di bahagian tempat duduk belakang dan 16 bungkusan lagi di but kereta dengan anggaran berat keseluruhan daun ketum 450 kg,” ujarnya.
Kata beliau, terdahulu, anggota MPV menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia di lokasi sama kira-kira setengah jam sebelum itu iaitu pada pukul 2.30 pagi semalam.
“Kereta tersebut didapati berada di tepi Jalan Bukit Wang dan pemeriksaan menemui sembilan bungkusan mengandungi daun ketum di dalam ruang but kereta dengan anggaran berat kira-kira 122 kg.
“Kita seterusnya menahan pemandu kereta tersebut iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai merupakan rakan kepada suspek berusia 35 tahun itu,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek dari Perlis itu ditahan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“Suspek berusia 26 tahun didapati mempunyai tiga rekod jenayah termasuk di bawah Akta Racun dan dadah,” katanya.-K! ONLINE











