KUALA LUMPUR – Negeri Selangor dinobatkan juara keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) peringkat kebangsaan dalam majlis penutup di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( MAIWP) hari ini. Naib Johan pertandingan yang dianjurkan buat kali ke enam itu disandang oleh Wilayah Persekutuan diikuti Kelantan di tempat ketiga. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee. MAIWP dalam satu kenyataan memberitahu, hampir 1,000 pelajar sekolah agama dari seluruh negara menyertai 11 acara pertandingan antaranya tilawah dan hafazan al-Quran, nasyid, kuiz, pertandingan khat dan syarahan. “Pertandingan ini diharap menjadi sesuatu yang signifikan dalam mengembangkan potensi pelajar ke arah pembentukan generasi agamawan yang berjiwa kreatif, kritis dan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











