MELAKA 7 Julai – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi di beberapa lokasi di negeri ini menyebabkan sebanyak 1,096 penduduk daripada 247 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 5 petang tadi.
Sebanyak 10 buah PPS dibuka di daerah Alor Gajah manakala sebuah lagi dibuka di daerah Melaka Tengah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong yang menempatkan sebanyak 75 penduduk daripada 18 buah keluarga.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, 10 PPS di Alor Gajah yang dibuka adalah di SK Belimbing Dalam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan, Masjid Ar-Rasyidin dan tujuh balai raya di Bukit Balai, Kampung Pegoh, Gadek, Panchor, Bukit Tambun, Kampung Beringin dan Sungai Tuang.
“Di daerah Alor Gajah sahaja, sebanyak 1,021 mangsa daripada 229 ditempatkan di 10 buah PPS dan jumlah keseluruhan mangsa banjir termasuk di Melaka Tengah meningkat berbanding 342 mangsa daripada 103 keluarga tengah hari tadi.
“Walapun paras banjir semakin surut, namun PPS tersebut dijangka dibuka sehingga esok berikutan hujan renyai dilihat masih berterusan di beberapa tempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Beliau berkata, turut terjejas adalah sebanyak 81 pelajar dan kakitangan Pusat Tahfiz Wal Qiraat Ainnussyukriah di Jalan Keretapi Kampung Panchor, Durian Tunggal yang dipindahkan ke Balai Raya Panchor di Alor Gajah.
Menurut Effendy yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihaknya akan memantau keadaan banjir di daerah berkenaan serta di Jasin berikutan paras air di sungai-sungai berada pada paras bahaya.
Sebanyak 178 anggota daripada pelbagai agensi termasuk APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri terlibat dalam bantuan dan pengurusan bencana itu. – UTUSAN ONLINE











