KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menambah seorang lagi anggota baharu bagi Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menyiasat kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, individu tersebut berkemungkinan akan dipilih dari kalangan bukan berbangsa Melayu selain seorang lagi anggota yang bakal menggantikan bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd. Noor yang menarik diri pada 2 Julai lalu.
“Keputusan menarikan diri itu adalah pilihan beliau sendiri. Kita telah maklumkan kepada pasukan itu mengenai keputusan beliau yang mendapat reaksi pelbagai pihak.
“Bagaimanapun, dari peringkat kementerian, kita akan menamakan pengganti dan mungkin seorang lagi dari kalangan bukan Melayu,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Wilayah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut memberitahu, mesyuarat PPK itu dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.
Selasa lalu, Mokhtar mengumumkan penarikan diri beliau secara sukarela dari PPK.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan dibuat atas rasa tanggungjawab beliau untuk memelihara integriti dan ketelusan pasukan ekoran tindakan pihak tertentu mempersoalkan kesesuaian keanggotaannya
Difahamkan terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mempersoalkan pelantikan Mokhtar kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Raymond dan Amri.
26 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan enam anggota PPK yang akan menyiasat kes kehilangan dua aktivis sosial selain menyiasat dapatan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan kedua-dua individu berkenaan.
Pasukan terbabit diberi tempoh enam bulan untuk melakukan siasatan, bermula dengan kes kehilangan Amri. – K! ONLINE











