SUNGAI PETANI 7 Julai – Polis negeri ini mengesan isyarat yang tidak baik berkaitan penglibatan golongan pelajar yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral termasuk budaya gangsterisme dan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mendapati seramai 122 orang pelajar sekolah di negeri ini terjerumus dalam perbuatan itu sejak awal tahun hingga Jun lalu.
Menurutnya, angka itu menyamai jumlah separuh pelajar yang terlibat dalam gejala berkenaan pada 2017 iaitu 265 orang pelajar direkodkan terlibat sepanjang 12 bulan tahun berkenaan.
“Sepanjang tahun lalu pula hanya 178 orang pelajar ditahan atas pelbagai kesalahan manakala sebelum akhir tahun ini, bilangan pelajar ditahan termasuk kes kecurian motosikal sudah mencecah 122 orang.
“Ini adalah satu isyarat yang tidak baik, maka ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan melakukan apa sahaja yang terbaik bagi memantau anak masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program My Future Is In My Hand anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kuala Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Petani, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MCPF daerah, Mohamad Sukri Awang, Pengetua SMK Bandar Sungai Petani, Jaliah Juewani dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdul Aziz Mat Piah.
Tambah Zainuddin, perkara yang menjadi kebimbangan pihaknya adalah golongan itu sanggup bertindak melampau terhadap pihak tertentu apabila mereka terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.
“Amalan merokok sejak berada di bangku sekolah juga boleh mengundang seseorang pelajar terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Polis tidak akan berdiam diri untuk membendung kes jenayah seperti ini yang secara tidak langsung juga akan mencemarkan institusi kekeluargaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











