PATTANI, Thailand 7 Julai – “Saya tidak kebal dan tiada ilmu kebal.” Itu penjelasan mudir Sekolah Pondok Wattanatham Islam di Daerah Panare, di sini, Yusuh Yala, 56, selepas kisahnya terselamat daripada enam das tembakan pada Isnin lalu tular di laman sosial dan dilaporkan secara meluas oleh akhbar di Malaysia.
Yusuh atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Salleh atau Baba Yusuf berkata, beliau bernasib baik kerana kesemua peluru tersebut menembusi lapisan bawah kulit didadanya sahaja.
“Beberapa peluru terkena pada bahagian kulit badan saya. Ada (peluru) yang masuk melalui bahu kanan dan tembus ke bahu kiri, ada yang tembus bawah ketiak.
“Tembakan itu mungkin dari arah depan tepi. Saya tak nampak sebab gelap. Saya tidak ada ilmu kebal. Allah tak mahu (ajal) sampai lagi. Ramai yang datang bertanya pada saya,
ada ilmu apa, saya hanya jawab Allah lindung saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Pattani di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu tular di laman sosial mengenai kisah peluru tidak menembusi badan Yusuh dan hanya mengalami luka biarpun terkena enam das tembakan.
Yusuh berkata, semasa kejadian beliau baru keluar rumah untuk ke masjid di pondok berhampiran rumahnya.
“Ketika mula kena tembak, saya tak sedar. Saya dengar bunyi. Saya rasa panas di dada tetapi tidak sakit. Saya pegang dada tengok ada darah. Dalam hati saya kata, ‘aku kena tembak’.
“Saya terus lari. Selepas itu, saya dengar lebih banyak tembakan dan alhamdulillah, Allah masih sayangkan saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











