KUALA SELANGOR – Seorang remaja maut manakala tiga parah selepas motosikal dinaiki bertembung antara satu sama lain di Simpang Empat Block D Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, Laili Dana Mohamad Fauzi, 15, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah agama di Sungai Besar disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala sewaktu menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Sementara mereka yang parah adalah Suhaily Abdul Latif, 15, dan dua beradik iaitu Mohamad Farid Saharudin, 28 dan Mohamad Faez, 21.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, kemalangan berlaku ketika Laili dan Suhaili yang menaiki motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan ke Kuala Selangor dari Sungai Besar.
Katanya, motosikal itu telah ditunggangi oleh Suhaili yang merupakan rakan sekolah Laili.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah motosikal jenis sama dinaiki dua beradik yang merupakan pekerja syarikat penghantaran barang gagal berhenti di simpang lalu bertembung dengan motosikal dinaiki dua remaja perempuan itu.
“Akibatnya, kesemua mereka cedera parah dan Laili disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala selepas menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, Suhaili yang patah peha kanan dan tangan serta Mohamad Faez yang koma telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Ujarnya, Mohamad Farid pula patah kaki kiri menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











