KUALA LUMPUR – Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berdepan tugas getir apabila ditugaskan untuk mencari pengganti jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Tanggungjawab yang diletakkan ke bahu jurulatih kelahiran Indonesia itu adalah bagi memastikan bakat beberapa pemain perseorangan lelaki negara seperti Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Lim Chong King dapat diketengahkan sama seperti bekas pemain No. 1 dunia berkenaan.
Ketua Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek pula lebih cenderung untuk membangunkan bakat baharu sebelum diserahkan kepada Hendrawan untuk digilap ke peringkat lebih tinggi.
Bakat baharu yang dimaksudkan ialah Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei, Ng Tze Yong dan beberapa lagi yang berpotensi.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, perubahan peranan tersebut dipersetujui oleh dua individu penting itu bagi memastikan Malaysia terus melahirkan bakat bertaraf dunia pada masa akan datang.
“Misbun menerima tawaran yang diberikan itu. Beliau ditugaskan untuk mencari dan membangunkan bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kepakaran dan pengetahuan Hendrawan dalam sukan badminton sangat bernilai bagi konteks arena sukan badminton Malaysia. Kita sudah berbincang dengan mereka dan kedua-duanya bersetuju dengan tugas masing-masing,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Sebelum ini, timbul tanda tanya mengenai nasib bekas jaguh badminton Indonesia itu sama ada dikekalkan sebagai jurulatih BAM atau sebaliknya selepas Chong Wei mengumumkan persaraan pada Jun lalu.
Kontrak jurulatih berusia 47 tahun itu masih berbaki kira-kira setahun iaitu sehingga Disember 2020.
Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut mengumumkan beberapa perubahan dalam sistem kejurulatihan seperti perubahan jawatan ketua jurulatih beregu campuran yang sebelum ini disandang oleh Pang Cheh Chang dan digantikan dengan Chin Eei Hui.
“Cheh Chang pula ditugaskan sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sejak minggu lalu.











