MEDAN – Sekumpulan pegawai daripada Taman Negara Gunung Leuser (TNGL) menahan seorang petani kerana disyaki menjual kulit harimau dan beberapa anggota badan hidupan liar di Sumatera Utara pada awal bulan ini, lapor portal berita Tribun Medan kelmarin.
Ketua Pejabat Serantau Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia bagi wilayah Sumatera Utara-Aceh, Haluanto Ginting berkata, lelaki yang dikenali dengan nama pangkal P berumur 27 tahun ditahan dalam satu serbuan pada 1 Julai lalu.
“Lelaki itu diserbu di Persimpangan Sogong, Lebuh Raya Marike, perkampungan Marike di Kabupaten Langkat pada waktu malam dan diserahkan kepada kami keesokan harinya,” kata Haluanto kelmarin.
Suspek ditahan selepas sekumpulan pegawai TNGL membuat penyamaran sebagai pembeli untuk mendapatkan kulit haiwan itu.
Rampasan dibuat membabitkan dua kulit harimau bersaiz besar, satu kulit harimau kecil, pisau belati, telefon bimbit dan tengkorak dipercayai milik harimau Sumatera,” katanya menurut satu laporan agensi berita CNN Indonesia.
“Suspek mendakwa anggota badan harimau itu adalah warisan keluarga secara turun-temurun. Jadi, dia mendakwa kulit harimau itu milik datuknya dan mewarisinya sejak tahun 2013,” jelas beliau.
Bagaimanapun, pegawai penyiasat mengesyaki kulit harimau itu diperoleh daripada harimau yang diperangkap di dalam kawasan TNGL. Mereka berpendapat sedemikian berdasarkan lokasi kediaman keluarga suspek yang terletak berhampiran taman negara berkenaan.
“P menjual helaian kulit harimau pada harga antara 100,000 rupiah (RM29) dan 200,000 rupiah (RM58). Dua kulit harimau bersaiz besar akan dijual dengan harga 57 juta rupiah (RM16,740). Dia bercadang untuk membaiki kubur ibu bapanya dengan duit jualan itu selain dijadikan modal bagi membeli haiwan ternakan,” katanya.
P didakwa di bawah Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 5 tahun 1990 dan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda 100 juta rupiah (RM29,370), jika sabit kesalahan. – Agensi











