Alaska rekod suhu panas luar biasa - Utusan Malaysia

Alaska rekod suhu panas luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES – Suhu di bandar terbesar Alaska, Anchorage memecahkan rekod apabila ia kini mencecah 32.2 darjah Celsius, pada ketika negeri di Amerika Syarikat (AS) yang terletak berdekatan Garisan Artik itu dilanda gelombang haba.

Pertunjukkan bunga api sempena sambutan kemerdekaan AS terpaksa dibatalkan ekoran risiko berlakunya kebakaran disebabkan oleh keadaan ‘cuaca terlalu kering’, dengan suhu direkodkan itu menyamai keadaan di Miami.

“Pada pukul 5 petang hari ini, suhu di Lapangan Terbang Antarabangsa Anchorage secara rasminya mencecah 32.2 darjah Celsius buat julung kalinya,” menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) di Twitter pada Khamis lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rekod suhu panas tertinggi sebelum ini ialah 29.4 darjah Celsius pada tahun 1969.

Cuaca panas purata pada 4 Julai di Anchorage, selatan Alaska, biasanya merekodkan suhu 18.3 darjah Celsius.

“Cuaca panas luar biasa ini disebabkan oleh satu pemusatan tekanan tinggi di langit (Anchorage),” kata ahli meteorologi NWS, Bill Ludwig kepada akhbar Anchorage Daily News.

Semua 30 hari sepanjang bulan Jun lalu mencatat suhu panas melebihi purata biasa, kata NWS.

Menurut sekumpulan saintis, suhu panas di Alaska meningkat pada kadar dua kali ganda daripada purata global.

Cuaca yang semakin panas di Alaska sejak beberapa tahun lalu, berkait pemanasan Lautan Artik, mengancam kehidupan penduduk setempat, hidupan liar dan ekonomi negeri.

Sungai-sungai beku lazimnya menjadi laluan pengangkutan ketika musim sejuk, namun pe­ningkatan suhu menyebabkan ais semakin nipis dan ia tidak selamat untuk penggunaan trak atau kereta. Hampir dua pertiga daripada penduduk di Alaska tidak mempunyai akses jalan raya.

Permukaan laut beku yang dijadikan platform oleh nelayan ketika menangkap ketam semakin nipis atau hilang di sebilangan kawasan.

Populasi anjing laut Alaska dikhuatiri terjejas pada musim panas ini memandangkan beberapa spesies haiwan itu melahirkan anak di atas permukaan ais. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini