JAKARTA 6 Julai – Pelakon sinetron, Galih Ginanjar, 31, disoal siasat polis selama 13 jam berhubung kes penghinaan yang dibuat lelaki itu terhadap pelakon yang juga bekas isterinya, Fairuz A Rafiq.
Galih dalam satu video yang tular dalam media sosial mendakwa kemaluan bekas isterinya itu berbau busuk seperti ikan masin sehingga mendorong Fairuz membuat laporan polis.
Lapor Tribun News, Galih tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Metro Jaya semalam ditemani peguamnya, Rihat Hutabarat sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan dan keluar 13 jam kemudian.
Dia kelihatan murung dengan matanya merah susulan proses siasatan tersebut.
Rihat memberitahu wartawan, pelbagai persoalan diajukan polis kepada Galih sepanjang proses tersebut.
“Selama 13 jam ada empat pertanyaan diterima Galih berkait rakaman penghinaan dan proses pembuatan video itu. Siasatan berjalan lancar dan tiada tekanan dan tindakan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Galih memberitahu dia tidak tertekan selama proses siasatan itu dilakukan namun mengakui agak kepenatan apabila diajukan pelbagai soalan.
“Semua berjalan lancar dan santai. Bahkan saya diberi makan dan minum mencukupi dan diberi ruang untuk beribadah namun agak kepenatan kerana kurang berehat,” katanya.–AGENSI











