KANGAR 5 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang kembali dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Katanya, beliau berharap pelantikan tersebut akan membawa kepada penyatuan yang sebenar-benarnya selain mengukuhkan parti dalam menghadapi musuh sebenar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya ucap tahniah kepada kedua-dua yang dilantik itu iaitu Shahidan sebagai pengerusi dan
Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.
“Itu adalah keputusan dan hak muklak Presiden UMNO untuk melantik. Harapan saya UMNO akan dibawa kepada penyatuan yang sebenar-benarnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di Dewan 2020 di sini malam ini.
Utusan Online sebelum ini melaporkan Shahidan kembali dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis manakala Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu dibuat melalui pengumuman yang dimuat naik dalam laman Facebook Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum kenyataan akhbar diedarkan kepada pihak media selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.
Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau kembali menerajui UMNO Perlis selepas digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengajak semua parti Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Azlan secara sinis mempersoalkan siapa yang bertanggungjawab memecah belahkan parti-parti Melayu sebelum ini.
“Kenapa dahulu dipecahkan sekarang hendak disatukan kembali. UMNO kan ada, masuklah UMNO,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar.- UTUSAN ONLINE











