Abdul Rashid dedah alasan - Utusan Malaysia

Abdul Rashid dedah alasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARA peminat bola sepak Kelantan dikejutkan dengan tindakan salah seorang calon Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengambil keputusan menarik diri daripada merebut jawatan itu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu semalam.

Sebagai rekod, EGM KAFA bagi memilih kepimpinan baharu badan induk itu akan berlangsung pada hari ini selepas Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta menerusi satu status yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook miliknya minggu lalu.

Justeru, Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah bersama barisan exco sebulat suara mahu EGM itu diadakan segera atas desakan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ).

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan mengejut itu bakal menyaksikan hanya dua calon akan bertanding iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

Abdul Rashid berkata, penarikan diri itu dibuat selepas meneliti pelbagai perkara yang menjadi asas utama kepada menggerakkan bola sepak Kelantan iaitu kewangan.

Menurutnya, kewangan merupakan perkara paling mustahak kerana ia merupakan ‘jantung’ pasukan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

“Tanpa kantung kewangan yang kukuh, agak sukar untuk menggerakkan pasukan itu.

“Pada masa sama, saya difahamkan KAFA sedang berdepan hutang lapuk pengurusan terdahulu dan sedia ada yang dipercayai mencecah belasan juta ringgit,” katanya semalam.

Abdul Rashid menambah, beliau banyak menghabiskan masa untuk memberikan komitmen dan tumpuan pada urusan parti di peringkat bahagian (negeri) dan pusat.

Katanya, bukan itu sahaja, beliau turut mempunyai tugas khas mengendalikan satu jawatankuasa penting berkaitan reformasi pilihan raya yang memerlukan masa dan tenaga.

“Jadi ruang untuk saya mengendalikan KAFA amat terhad lebih-lebih lagi dengan tanggungan hutang yang banyak.

“Saya khuatir kudrat ini tidak mampu untuk mendapatkan penajaan yang banyak bagi menggerakkan pasukan selain mencuci hutang lapuk,” katanya.

Abdul Rashid berkata, setakat RM5 juta untuk menggerakkan pasukan itu tidak mendatangkan masalah kerana beliau mampu mendapatkan sumber itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini