Rasanya 2019 ini penuh dengan cerita mengenai Malaysia Airlines Berhad (MAB). Terkadang terasa syarikat ini seolah-olah ‘dipersalahkan’ akibat kerugian besar Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sehingga RM6.3 bilion.
Selepas muncul beberapa cadangan menutup dan menjual syarikat itu, akhirnya semalam media melaporkan kemunculan kumpulan yang diketuai Datuk Pahamin Ab. Rajab yang berminat untuk mengambil alih 49 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan nasional ini.

Difahamkan kumpulan ini masih belum mempunyai dana untuk melaksanakan pengambilalihan berkenaan. Namun beliau dilaporkan berkata, pembiayaan tidak menjadi masalah kerana rakan kongsinya boleh mendapatkan dana bagi Najah Air, syarikat yang ditubuhkan bagi tujuan mengambil alih kepentingan dalam MAB.
MAB kini tidak ubah seperti ‘barang lelong’. Ada yang cakap kenapa perlu jual mahal sedangkan ia hanya sebuah syarikat yang rugi dan ‘makan’ duit kerajaan tetapi tidak mencatat keuntungan.
Namun, dalam soal ini, semua pihak terlupa tentang soal dana. Ia pastinya memerlukan sejumlah wang yang banyak.
Seperti yang pernah dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Izham Ismail, menutup MAB memerlukan dana yang besar dan jumlah itu akan menakutkan pelabur.
Pahamin mungkin berjaya dengan model AirAsia (kemunculan tambang murah yang sememangnya tiada pemain utama ketika itu), namun ini adalah soal sebuah syarikat penerbangan nasional yang mempunyai impak begitu besar kepada negara.
Walaupun beliau menegaskan ia tidak melibatkan duit kerajaan, namun, apa yang dibimbangkan, keadaan ini akan memberi kesan berganda bukan sahaja kepada MAB tetapi juga poket kerajaan andai kata usaha berkenaan gagal.
Satu persoalan lagi, mengapa perlu meletakkan kepercayaan kepada sebuah syarikat yang belum terbukti keupayaannya dalam industri penerbangan berbanding melihat keyakinan yang diberikan Japan Airlines Co Ltd (JAL) dan Singapore Airlines Ltd. (SIA) kepada MAB melalui kerjasama mereka dalam memperluaskan rangkaian perniagaan.
Lebih elok sekiranya menjadikan JAL sebagai contoh terbaik dalam usaha memulihkan MAB. Begitu juga, syarikat penerbangan terkemuka SIA yang yakin kepada MAB. Sejarah telah menunjukkan kejayaan pembentukan Malaysia-Singapore Airlines (MIA) suatu ketika dahulu sebelum ia dibubarkan selepas pemisahan Malaysia dan Singapura pada 1972.
Tidak mengatakan tindakan Pahamin betul atau salah, tetapi isu MAB perlu ditangani dengan lebih konkrit dan jelas.











