JEDDAH 5 Julai – Jemaah haji dari luar negara mula tiba di Arab Saudi semalam bersamaan 1 Zulkaedah yang menandakan bermulanya musim ibadat haji bagi tahun 2019.
Saudi Gazette melaporkan, kumpulan pertama jemaah adalah dari India, Pakistan, Bangladesh dan Malaysia dengan kesemuanya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad di Madinah.
Ketibaan semua jemaah turut disambut oleh Kementerian Haji dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA), selain mereka turut diberikan jambangan bunga.
Jemaah dari Indonesia, Malaysia, Pakistan, Bangladesh dan Tunisia buat pertama kali menggunakan kemudahan imigresen, ‘Laluan Mekah’ yang membolehkan mereka mendapat pelepasan imigresen dari negara masing-masing.
Sistem Pembuktian Konsep (POC) itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi dan kelima-lima negara berkenaan.
Presiden GACA, Abdul Hadi al-Mansouri dan Ketua Pengarah Arab Saudi Airlines, Saleh al-Jasser merupakan antara orang kenamaan yang menyambut ketibaan pertama jemaah di Terminal Haji Jeddah.
Pesawat Saudi Arabia Airlines dari Dhaka itu membawa seramai 350 orang jemaah dan tiba di negara ini tengah hari semalam.
Menurut Saleh, syarikat penerbangan tersebut dijangka membawa seramai 1.2 juta jemaah haji pada tahun ini dengan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding musim haji yang lalu.
Sementara itu, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 463 orang turut tiba di Madinah semalam. – AGENSI











