RAC, MB Inc. tubuh syarikat JV bangun aset di Perak - Utusan Malaysia

RAC, MB Inc. tubuh syarikat JV bangun aset di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) akan menubuhkan sebuah syarikat kerjasama (JV) bagi membangunkan tanah seluas 193.78 ekar milik RAC di Ipoh.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, RAC dan MB Inc. masing-masing akan mempunyai pegangan 50:50 dalam syarikat JV berkenaan.

Beliau berkata, syarikat JV berkenaan akan diberi tanggungjawab membangunkan kawasan berkenaan dengan pembangunan bercampur di bawah konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembangunan kawasan itu mengambil tempoh selama 15 tahun untuk siap sepenuhnya.

“Syarikat JV akan melantik ‘master planner’ untuk merancang pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.

“Pembangunan mengandungi bangunan komersial, perumahan dengan fokus rumah mampu milik yang diintegrasikan dengan stesen kereta api,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara RAC dan MB Inc. di sini hari ini.

MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam majlis itu, RAC diwakili Pengurus Besar, Azhar Ahmad sementara MB Inc. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin.

Menurut Siew Fook, pihaknya akan memastikan lebih banyak pembangunan berkonsep TOD yang dilihat mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

Mengenai kerjasama itu, beliau percaya ia bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya rakyat Perak.

Ditanya kos pembangunan kawasan itu, Siew Fook berkata, ia belum diputuskan kerana pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan swasta untuk terlibat sama.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerjasama itu bakal membangunkan aset RAC di Ipoh yang terletak dalam lokasi strategik dan menjadi tumpuan pelabur.

“Kerjasama ini juga akan mempercepatkan usaha kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik di kawasan bandar kepada rakyat khususnya golongan B40,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini