IPOH 5 Julai – Sejumlah 12,450 unit cakera video digital (DVD) tanpa label Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bernilai RM81,250 dirampas dalam dua serbuan di premis berasingan di Gopeng dan Kampar semalam.
Ketua Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP Perak, Mohd. Sakhri Mohd. Salleh berkata, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan oleh sekumpulan sembilan pegawai penguat kuasa, hasil maklumat serta aduan daripada orang awam.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis tersebut, kita mengesyaki mereka ada menawarkan untuk membekalkan DVD tanpa label cakera optik KPDNHEP.
“Sehubungan itu, sebanyak 12,450 unit DVD berkenaan yang dianggarkan bernilai RM81,250 disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat KPDNHEP Perak di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sakhri, majikan dan pekerja di kedua-dua premis berkenaan juga akan dipanggil bagi memberikan keterangan untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, difahamkan kedua-dua premis tersebut menjual DVD berkenaan pada harga sekitar RM6 hingga RM7 seunit.
“Oleh itu, kita menasihatkan para peniaga cakera optik supaya mendapatkan label berkenaan terlebih dahulu sebelum menjualnya kepada orang ramai,” katanya.
Kes disiasat di bawah Peraturan 4(4)(a) Peraturan Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010. – UTUSAN ONLINE











