MELAKA – Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia (AirAsia) dijangka menyambung semula penerbangan menghubungkan Pulau Pinang dan Melaka yang terpaksa dihentikan sementara berikutan kerosakan sistem navigasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam sejak semalam, mulai esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, beliau dimaklumkan operasi peralatan sistem navigasi di menara kawalan udara LTAM berjaya dipulihkan dengan menggunakan peralatan jana kuasa sementara dan kini berjalan lancar.
Menurutnya, prosedur penerbangan juga telah diluluskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan untuk itu AirAsia dijangka menyambung semula penerbangannya yang dihentikan selama dua dari mulai esok.
“Operasi peralatan yang rosak telah berjaya dibaik pulih dengan menggunakan ‘genset’ sementara, oleh itu prosedur penerbangan telah pun diluluskan dan AirAsia akan kembali beroperasi seperti biasa mulai esok.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada CAAM dan pihak subkontraktor yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, sebanyak 132 penumpang penerbangan pesawat AirAsia dari Melaka ke Pulau Pinang terkandas di LTAM apabila penerbangan mereka terpaksa dibatalkan berikutan masalah sistem navigasi di menara kawalan udara LTAM.
AirAsia memulakan operasinya di LTAM pada Isnin lalu dengan memperkenalkan laluan baharu dari Melaka-Pulau Pinang dengan kekerapan satu penerbangan setiap hari.
Menurut Mohd. Sofi, pihaknya berharap masalah sebegini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
“Prosedur dan amalan penyelenggaraan mesti disemak semula serta penambahbaikan mesti dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











