Kerajaan negeri nafi buat persediaan untuk pilihan raya PBT - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri nafi buat persediaan untuk pilihan raya PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Kerajaan negeri hari ini menafikan pemilihan ketua kampung bagi Kampung Bahru Paroi di sini pada hujung minggu ini adalah langkah pertama ke arah mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, pemilihan tersebut yang dilakukan dengan kaedah pilihan raya adalah kajian perintis oleh kerajaan negeri bagi melihat keberkesanan sistem tersebut.

Katanya, ia adalah satu inisiatif bagi membolehkan sebanyak 821 pengundi dalam kampung berkenaan memilih ketua mereka melalui kaedah seperti pilihan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam isu pilihan raya PBT, kerajaan negeri telah menyerahkan sepenuhnya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membuat keputusan mengenainya.

“Sekiranya tidak boleh diadakan pilihan raya PBT, pendekatan kerajaan negeri ialah menjalankan pendemokrasian di peringkat PBT dengan melibatkan bukan saja wakil dari parti politik tetapi beberapa pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan dalam media sosial bahawa pilihan raya Kampung Bahru Paroi pada Ahad ini adalah langkah pertama ke arah pilihan raya PBT di negeri ini.

Sebanyak dua calon masing-masing dari DAP dan Gerakan dijangka bertanding dalam pilihan raya itu dengan pengundian akab bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.

DAKWAAN sebuah pemilik akaun Facebook berhubung pemilihan ketua kampung di Kampung Bahru Paroi yang dikatakan bakal menjadi langkah pertama untuk menganjurkan pilihan raya PBT di Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE

Kok Seong menjelaskan, kedua-dua calon itu tidak bertanding atas tiket parti mereka sebaliknya atas kapasiti individu.

“Kita hendak lihat setiap pengundi diberi ruang untuk memilih ketua kampung yang mereka fikir boleh menjadi pemimpin yang baik,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dapatan daripada proses pilihan raya itu kelak akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini