Bee Yin sila bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Bee Yin sila bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Julai – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim digesa supaya berlaku telus dan bertanggungjawab dalam mendedahkan punca pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, Johor kepada rakyat.

Gesaan itu disuarakan oleh Pengarah Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Datuk Iskandar A. Samad yang menegaskan, pihak kementerian sepatutnya sudah dapat mengenal pasti dalang di sebalik kejadian yang telah berlaku buat kali kedua di negeri itu.

Beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab dalam hal itu, Yeo Bee Yin mestilah menjelaskan kepada rakyat sama ada pencemaran itu berpunca daripada kilang haram atau kilang yang sebenarnya mempunyai lesen sah untuk beroperasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya pencemaran itu adalah berpunca daripada kilang yang sah dan mempunyai lesen untuk beroperasi, maka tindakan menutup kilang haram bukanlah jalan penyelesaian yang tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 1,127 kes pencemaran udara di kawasan itu dilaporkan sejak gelombang kedua bermula pada 20 Jun lalu sehingga kelmarin.

Daripada jumlah itu, 1,044 mangsa pencemaran mendapatkan rawatan pesakit luar dan 45 lagi dimasukkan ke dalam wad Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru hingga petang kelmarin.

Kebanyakan pesakit mengalami gejala muntah, loya, pening kepala serta sesak dada dan sebahagian kecil mengalami batuk, sakit dada, mata pedih dan sakit tekak. Walau bagaimanapun, tiada kes melibatkan kematian dilaporkan setakat ini.

Tambah Iskandar, beliau juga menuntut supaya Bee Yin meletakkan jawatan sekiranya tidak dapat menghadapi tekanan yang berlaku sekarang.

Katanya, situasi yang berlaku sekarang bukan lagi sesuatu yang ‘normal’ apabila sudah menyebabkan kemarahan dan meninggalkan derita kepada rakyat di kawasan itu.

“Beliau (Bee Yin) bukan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor tetapi adalah Menteri Persekutuan. Sepatutnya beliau menunjukkan ciri kepemimpinan kerana rakyat sudah menderita sekarang. Sila letakkan jawatan anda sekarang sekiranya gagal untuk menguruskan tekanan yang berlaku,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini