PORT DICKSON – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 41 tahun ditemui mati tergantung di sebuah rumah kedai di Taman Jimah Jaya Site C, Chuah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada pukul 10.30 pagi.
“Pihak polis pergi ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa tergantung di depan pintu biliknya.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang bernama Candra, berumur 41 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan. Mayatnya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.
Justeru, katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis. – K! ONLINE











