PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan mereka berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah Manchester United, Ander Herrera dengan kontrak lima tahun.
Herrera, 29, menyertai PSG secara percuma selepas kontraknya di Old Trafford tamat, bulan lalu.
Pemain Sepanyol itu akan memakai No.21 sama seperti ketika dia bersama Red Devils.
Dia sebelum ini pernah ditawarkan kontrak baharu bersama United tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat dan membuatkan dia menyertai PSG.
Herrera mahukan gaji sekitar 200,000 pound (RM1.04 juta) seminggu untuk kekal di Old Trafford tetapi Ed Woodward tidak bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan besar bagi pemain yang akan mencecah usia 30 tahun pada musim akan datang.
Dia menandatangani kontrak mega dengan PSG dengan pemain Sepanyol itu akan menerima gaji sekitar 300,000 pound (RM1.56 juta) seminggu.
“PSG adalah kelab terbesar di Perancis yang sentiasa berkembang dan sentiasa mahu menang kejuaraan.
“Saya sentiasa ingin ke Paris dan memakai jersi ini. Kelab ini ada sejarah tersendiri dan saya gembira kerana akan bersama mereka memahat sejarah baharu.
“Bandar di sini juga menarik. Paris adalah bandar paling cantik di dunia. Saya janji tiga perkara iaitu kerja, etika profesional serta semangat.
“Saya juga akan perbaiki bahasa Perancis saya kerana ia sangat penting untuk saya berkomunikasi,” katanya.-AGENSI











