KUALA LUMPUR 5 Julai – Bursa Malaysia dibuka tinggi namun susut kemudiannya pada pagi ini apabila indeks petunjuk utama itu terus menyaksikan aktiviti belian ketara berikutan kenaikan yang dicatat baru-baru ini.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.15 mata kepada 1,685.33 daripada 1,687.48 sewaktu ditutup pada Khamis.
Sewaktu dibuka, indeks tersebut mencatat peningkatan 0.12 mata kepada 1,687.60.
Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan 119 kaunter untung berbanding 91 manakala 164 kaunter tidak berubah, 1,473 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 129.42 juta unit bernilai RM40.76 juta.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya yakin peningkatan yang diraih pasaran baru-baru ini sudah reda selepas indeks utama itu mencatat kenaikan sebanyak lapan peratus berbanding penyusutan terendah dalam tempoh setahun pada sebulan lepas.
“Kami berpendapat peningkatan itu jelas memaparkan prospek asas korporat Malaysia pada tahun ini yang turut menyaksikan aktiviti aktiviti belian ketara.
“Malah, ini dapat dilihat selepas saham modal kecil dibeli berlebihan akibat peningkatan pasaran baru-baru ini dan akan disusuli dengan aktiviti pengambilan untung dalam masa terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menjangkakan aktiviti belian ketara itu akan memanjangkan tempoh konsolidasi pada sesi dagangan akhir bagi minggu ini.
Secara teknikal, paras rintangan adalah 1,680 hingga 1,682 dan diikuti 1,670 manakala sokongan pada 1,694 dan 1,700. – BERNAMA











