Masih jauh untuk penggabungan - Utusan Malaysia

Masih jauh untuk penggabungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Penggabungan antara media-media arus perdana tidak akan berlaku dalam waktu terdekat walaupun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah membeli sebahagian daripada saham Media Prima Berhad.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana Syed Mokhtar bukanlah pemegang saham terbesar dalam syarikat-syarikat media yang dimilikinya.

Jelas beliau, penggabungan hanya berlaku jika kesemua pemegang saham majoriti bersetuju untuk bergabung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini penggabu­ngan syarikat-syarikat media arus perdana nampak mustahil. Selain memerlukan persetujuan semua pemegang saham majoriti, kos penggabungan juga perlu diambil kira,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Mokhtar kini menjadi orang penting di dalam industri media berikutan beliau dipercayai bakal menguasai kepen­tingan utama di dalam kumpulan media terbesar di negara ini, Media Prima bernilai RM74 juta.

Dengan pengambilalihan itu, Syed Mokhtar telah menambah satu lagi syarikat media selain daripada TMR Media Sdn. Bhd., penerbit The Malaysian Reserve dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Ia seterusnya menimbulkan spekulasi sama ada Syed Mokhtar mempertimbangkan untuk melaksanakan penggabungan mega pemain media di Malaysia, meletakkan beberapa akhbar utama termasuk New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia di bawah satu bumbung.

Berhubung saham Media Prima yang susut semalam sejurus laporan pembelian saham oleh Syed Mokhtar, Ahmed Razman berkata, pasaran tidak mendapat maklumat yang mencukupi bagaimana Syed Mokhtar mampu mengembalikan keuntungan kepada Media Prima.

Jelasnya, ketidakpastian tersebut menyebabkan pasaran masih lagi ragu-ragu sama ada pembelian saham berkenaan mampu mengubah nasib dan prestasi kewangan Media Prima ketika ini.

Saham Media Prima kekal tidak berubah seperti pembukaan iaitu 48 sen sesaham pada sesi penutupan dagangan petang hari ini.

Mengenai kesan penggabu­ngan jika ia menjadi kenyataan, Ahmed Razman berkata, ia akan mewujudkan kumpulan media yang bakal memonopoli pelbagai saluran media di negara ini.

“Sesiapa yang mengawal kumpulan media ini boleh mempengaruhi bagaimana berita-berita harus dilaporkan sama ada cenderung kepada kerajaan atau sebaliknya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini