KUALA LUMPUR 4 Julai – Malaysia mencatatkan nilai perdagangan sebanyak RM753.88 bilion untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, meningkat 0.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, untuk tempoh tersebut, eksport meningkat 0.3 peratus kepada RM405.36 bilion manakala import menguncup 0.3 peratus kepada RM348.52 bilion.
Katanya, lebihan dagangan pada tempoh ini berkembang 4.3 peratus kepada RM56.85 bilion.
“Namun, bagi Mei sahaja, eksport naik 2.5 peratus kepada RM84.15 bilion manakala import tumbuh 1.4 peratus kepada RM75.06 bilion sekali gus menjadikan nilai dagangan pada bulan berkenaan sebanyak RM159.21 bilion.
“Jumlah eksport yang dicatatkan juga merupakan nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi Mei.
“Pertumbuhan eksport yang lebih pantas berbanding import telah menghasilkan lebihan dagangan yang tinggi sebanyak RM9.08 bilion, melonjak 11.9 peratus berbanding Mei tahun lepas.
“Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-259 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MITI berkata, pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan dalam perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), India, Filipina dan Thailand.
Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Mei 2019, eksport barangan perkilangan berkembang 1.3 peratus kepada RM340.21 bilion berbanding tempoh sama 2018 disokong oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), barangan besi dan keluli, kimia dan bahan kimia, barangan optik dan saintifik, barangan makanan diproses, barang kemas serta barangan kertas dan palpa.
“Perdagangan dengan ASEAN pada Mei 2019 yang merangkumi 27.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM43.69 bilion.
“Eksport ke ASEAN berkembang 4.7 peratus kepada RM24.78 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan, kelengkapan pengangkutan, petroleum kondensat dan minyak petroleum lain serta cecair gas asli (LNG) manakala import dari ASEAN naik 4.4 peratus kepada RM18.91 bilion,” katanya.











