Grab dan 4 bank minat lesen bank digital - Utusan Malaysia

Grab dan 4 bank minat lesen bank digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Firma teknologi, Grab dan empat lagi bank, CIMB Group Holdings Bhd., Affin Bank Bhd., Hong Leong Bank Bhd. and AMMB Holdings Bhd. memberi isyarat berminat untuk mendapatkan lesen perbankan digital atau maya di Malaysia.

Pengarah Pembangunan Kewangan dan Inovasi Bank Negara Malaysia (BNM), Suhaimi Ali baru-baru ini memberitahu, lebih 10 pihak terdiri daripada pendatang baharu dan pemain industri kewa­ngan telah menyatakan minat untuk menubuhkan sebuah bank digital di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sesiapa. Namun, pemerhati industri menjangka Grab, Touch ‘n Go dan syarikat e-Dompet lain berminat untuk memohon.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hong Kong memberi lesen perbankan maya tahun ini, yang mana sebanyak lapan lesen telah pun diedarkan membenarkan bank-bank tra­disional untuk bekerjasama dengan firma teknologi mendapatkan lesen itu.

BNM dijangka mengumumkan peraturan pelesenan menjelang akhir 2019.

Minat Grab merebut lesen itu tidak menghairankan. Firma itu telah bersedia untuk memohon lesen perbankan digital di Singapura sekiranya ada, menurut laporan Reuters yang memetik sumber.

Jurucakap Grab dalam laporan The Edge berkata, sebagai platform perintis e-Dompet di rantau ini, syarikat menyokong sepenuhnya BNM dan rancangan kerajaan untuk menawarkan lesen perbankan digital sebagai sebahagian dari­pada usaha mengembangkan ekonomi tanpa tunai.

“Kami pasti berminat untuk meneroka ruang ini dan kini dalam perbincangan dengan pihak berkuasa,” katanya.

CIMB Group pula ketika ini merupakan satu-satunya bank tempatan yang sudah memiliki bank digital, telah menu­buhkan satu di Filipina pada Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, terdapat pelbagai pilihan seperti yang telah dilaksanakan di Hong Kong dan Filipina jus­teru menantikan garis panduan daripada BNM.

“Touch ‘n Go merancang memperluaskan produk ke dalam segmen e-kewangan. Ini ialah kemasukan kami ke dalam pembayaran mudah alih dan kami sedang berkembang,” katanya di luar acara Minggu MyFintech 2019 Jun lalu.

CIMB Group memiliki 52 peratus pegangan di dalam Touch ‘n Go Sdn. Bhd., diikuti MTD Equity Sdn. Bhd. (28 peratus) dan PLUS Malaysia Bhd. (20 peratus).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan bank digital hanya dalam entiti Affin Bank sahaja.

Bagi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda pula berkata, sekiranya peluang yang sesuai timbul, kumpulan pasti akan mempertimbangkan memohon lesen perbankan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, kemungkinan AmBank untuk menubuhkan sebuah bank digital tidak jauh.

habiss//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini