SAUDARA PENGARANG,
KETERLIBATAN kewangan ataupun financial inclusion ditakrifkan sebagai ketersediaan peluang untuk menggunakan perkhidmatan kewangan oleh orang dewasa dalam sesebuah negara.
Ia merupakan salah satu indikator kepesatan pembangunan negara yang diukur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ia mengukur sejauh mana penduduk di sesebuah negara terlibat dengan aktiviti kewangan bagi memenuhi keperluan kehidupan.
Pada tahun 2015, penduduk Malaysia dianggarkan seramai 31.5 juta orang. Dari jumlah itu, 20.5 juta orang telah dikategorikan sebagai penduduk dewasa.
Menurut data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, sebanyak 87% daripada penduduk dewasanya mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun simpanan di bank pada tahun 2011 dan peratusan ini telah meningkat kepada 95 % pada tahun 2017.
Peratusan ini sangat tinggi jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.
Daripada jumlah itu secara purata seorang dewasa mempunyai lebih daripada dua akaun simpanan di bank pada tahun 2011 dan jumlahnya meningkat kepada lebih dari tiga akaun simpanan di bank pada tahun 2017.
Statistik itu memberikan gambaran bahawa akaun simpanan merupakan satu keperluan bagi orang dewasa di Malaysia terutamanya bagi tujuan pembayaran gaji.
Selain itu, kemudahan bank telah berada di seluruh pelusuk negara hingga memudahkan rakyat untuk membuka akaun simpanan di mana-mana.
Orangdewasa memahami banyak urusan boleh dilakukan menggunakan akaun simpanan seperti pembelian barangan dan perkhidmatan atas talian, kemudahan pembayaran bil perkhidmatan dan sebagainya.
Namun, perlu diingatkan akaun simpanan perlu diselenggara dengan baik dan keutamaannya haruslah untuk tujuan menyimpan dan bukannya bagi berbelanja lebih.
MOHD. HALIM KADRI
UiTM Johor











