SAUDARA PENGARANG,
LUAHAN serta rintihan mahupun rayuan secara terbuka oleh Ketua Cabang AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz wajar dilihat dari sudut positif.
Malah menjadi suatu tanggungjawab fardu kifayah untuk Perdana Menteri bertemu dengan beliau sebelum memutuskan secara adil kesahihan isu aktiviti songsang di luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan.
Umum mengetahui bahawa pengakuan Haziq dalam isu video berkenaan tidak sama dengan pengakuan kes liwat 20 tahun yang lalu di mana pengadu berjumpa dengan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum di bawa ke pengetahuan umum melalui pihak media.
Malah timbul persoalan adakah akibat pembongkaran serta pengakuan Haziq yang tidak mengikut ‘protokol’ maka dakwaan beliau dalam isu serius berkenaan dianggap sebagai satu fitnah malah tidak perlu diberikan sebarang pembelaan duniawi?
Berkemungkinan atas situasi itulah pihak yang kononnya difitnah oleh Haziq menganggap tindakan secara sendiri untuk membuat laporan polis dan sumpah laknat sebagai hanya membuang masa kerana mendapat kredit serta kepercayaan Perdana Menteri.
Soal gutter politic tidak timbul sehingga Haziq di dakwa ke atas pengakuan beliau sendiri terutama sekali perbuatan liwat di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan ataupun di bawah Akta Hasutan dalam melakukan fitnah.
Malangnya sampai sekarang pun tiada kedengaran pembelaan dari sudut perundangan terhadap beliau.
Justeru, Perdana Menteri atas dasar perikemanusiaan wajar berlaku adil terhadap Haziq tanpa menyebelahi mana-mana pihak sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil.
Ini penting demi kepentingan pentadbiran kerajaan hasil daripada mandat diberi rakyat.
RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik











