PULAU PINANG – Sebanyak tiga buah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pagi tadi kerana menangkap ikan di luar zon ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.
Ketiga-tiga bot tersebut ditahan bot peronda Maritim Malaysia antara pukul 6.40 pagi hingga 7.30 pagi.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, dua buah bot nelayan Kelas C ditahan pada jarak kira-kira 1.1 kilometer dari Tenggara Pulau Kendi dan 3.1 kilomter dari Barat Laut Pulau Kendi.
Tambahnya, sebuah lagi bot nelayan Kelas B ditahan pada jarak kira-kira 1.48 kilometer dari Barat Laut Pulau Kendi.
“Hasil pemeriksaan mendapati empat kru warga tempatan dan lapan kru warga Thailand berumur antara 25 hingga 69 tahun berada di atas bot ini.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar zon penangkapan yang dibenarkan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga bot tersebut bersama lima gulung pukat tunda, ikan campur kira-kira 875 kilogram, tiga tekong dan sembilan awak-awak ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Beliau juga menegaskan, Maritim Malaysia negeri memandang serius kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutama melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar zon ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.
Tambahnya, penggunaan pukat tunda berdekatan pesisir pantai bukan sahaja memerangkap dan memusnahkan anak-anak ikan malah memusnahkan ekosistem marin yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut.
“Orang awam diminta bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 dan 04-2643650,” katanya. -UTUSAN ONLINE











