Pyu tok dalang cilik - Utusan Malaysia

Pyu tok dalang cilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia semakin moden ini, banyak kemahiran yang kanak-kanak boleh peroleh daripada melakukan pelbagai jenis aktiviti. Antaranya menyertai pasukan bola sepak, bermain alat muzik, berlakon teater, drama dan sebagainya.

Peluang dan pendedahan yang diberikan kepada kanak-kanak sudah semestinya bergantung kepada ibu bapa. Kanak-kanak juga boleh terpengaruh dengan minat ibu bapa dan persekitarannya secara semula jadi.

Tok Dalang termuda, Aqflerudzar Rizq Mohd Sulhie bersama pasukanya persembahannya. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Itulah yang dialami oleh tok dalang termuda di Malaysia, Aqfierudzar Rizq Mohd. Sulhie atau nama manjanya Pyu, enam tahun. Sejak berusia empat tahun, anak kelahiran Kelantan itu sudah mula meminati seni budaya wayang kulit.

Pendedahan yang diberikan sejak kecil oleh bapanya, Mohd. Sulhie Yusof, yang merupakan seorang penggiat seni tradisional sepenuh masa, ternyata telah membuahkan hasil.

“Saya mula sedar bakat yang ada pada Pyu sewaktu dia berusia tiga tahun kerana dia suka bermonolog sendirian sambil bermain patung,” kata Sulhie kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pada usia empat tahun, Pyu sudah mula membuat persembahan wayang kulit bersama kumpulan yang diketuai oleh bapanya iaitu kumpulan Arjunasukma.

“Menjadi tok dalang ini bukan sesuatu yang mudah kerana harus menguasai kriteria setiap watak, dialog dan cara penyampaian cerita.

“Bagi permulaan dan asas wayang kulit, Pyu sudah faham bagaimana peranan setiap watak harus dimainkan,” tambah Sulhie yang juga pemuzik untuk persembahan wayang kulit.

Aqflerudzar Rizq Mohd Sulhie bersama bapa dan ibunya pada sesi temu bual di Yayayan Hasanah. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Yayasan Hasanah

Berbekal bakat luar biasa, Pyu dibantu Yayasan Hasanah untuk menggilap lagi kebolehannya seterusnya menjadi pelapis dan memberi nafas baharu kepada seni budaya tradisional ini.

Ketua Kesenian, Kebudayaan dan Ruang Awam Yayasan Khazanah, Zainiriah Johari berkata, yayasan di bawah Khazanah Nasional itu berperanan meningkatkan kesedaran dan rasa sayang selain memelihara dan memberi perlindungan terhadap seni budaya yang ada di Malaysia.

“Kami ingin memupuk rasa cinta terhadap seni budaya terutamanya kepada golongan muda kerana kami percaya golongan ini yang boleh bantu mempertahankan warisan kita dalam seni dan budaya di masa hadapan,” katanya.

Bakat dan minat Pyu terhadap seni wayang kulit menarik perhatian Yayasan Hasanah untuk membantu dan menyediakan platform buat anak kecil itu.

Dalam usia enam tahun, Pyu telah menjelajah ke Indonesia, Singapura, China dan Brunei untuk membuat persembahan wayang kulit dan mengetengahkan seni tersebut kepada orang ramai.

Walaupun terlibat dalam dunia seni, ibu bapa Pyu tetap mementingkan pendidikan akademik anak mereka. Malah, mereka ingin Pyu menguasai Bahasa Inggeris, Melayu dan Cina di masa hadapan supaya dapat mengembangkan seni budaya tersebut tanpa mengira bangsa.

“Saya ingin menjadi seorang juru terbang apabila dewasa,” kata Pyu dengan riang apabila ditanya tentang cita-citanya. Sokongan yang diberikan oleh keluarga si kecil itu tidak terhad kepada hobinya sahaja.

Namun, setiap orang pasti ada cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Bagi keluarga Pyu, cabaran yang dihadapi adalah komen negatif daripada orang sekeliling.

“Ramai orang bertanya kenapa biarkan anak menceburi bidang seni itu kerana ia tidak akan membantu bina kerjaya dalam dunia yang semakin moden ini.

“Pada saya, seni budaya ini membantu dalam membentuk corak pemikiran kerana menjadi tok dalang harus peka dan cekap,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.

Dengan bantuan Yayasan Hasanah, suatu hari nanti Pyu pasti akan berpeluang untuk memperkenalkan seni budaya ini ke seluruh dunia.

Sulhie dan isterinya, Aniza Musa, sangat bersyukur atas peluang yang diberikan kepada si kecil mereka dan berharap Pyu tidak akan putus hubungan dengan dunia seni apabila dia dewasa kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×