Penduduk tagih janji - Utusan Malaysia

Penduduk tagih janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jun – LEBIH 6,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengotakan janji bagi membina tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan mereka seperti yang dirancang sejak 2017.

Penduduk mendakwa, pihak berkuasa tempatan itu ketika di bawah kerajaan sebelum ini menjanjikan pembinaan kemudahan itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan masalah kekurangan parkir kritikal di kawasan perumahan mereka, namun gagal melaksanakan sehingga ke hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati kawasan perumahan yang menempatkan enam blok kediaman bertingkat itu sesak dengan ribuan jumlah kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laluan utama di tengah-tengah kawasan yang menghubungkan setiap unit PPR itu juga menjadi sasaran penghuni untuk meletakkan kenderaan mereka di kiri dan kanan bahu jalan.

Keadaan itu menyebabkan jalan dua lorong yang sepatutnya perlu dikosongkan bagi melancarkan aliran trafik bertukar menjadi setengah lorong sehingga menimbulkan kesukaran untuk pengguna.

Pemerhatian turut mendapati, penghuni turut meletakkan kenderaan mereka secara berlapis sehingga menghalang kenderaan lain yang diletakkan di petak parkir sedia ada.

 

Keadaan itu sekali gus mengundang kesulitan kepada pemilik kenderaan untuk keluar sehingga terpaksa menolak satu persatu kenderaan yang menghalang kenderaan mereka.

Difahamkan, beberapa insiden pergaduhan, perselisihan faham dan pertengkaran antara dua pemilik kenderaan juga kerap berlaku kerana kemalangan kecil dan pergeseran melibatkan kenderaan masing-masing.

Penduduk turut mendakwa, kesengsaraan mereka semakin bertambah ketika pasar malam beroperasi pada setiap Sabtu, Isnin dan Rabu di kawasan berdekatan.

Ini kerana antara pengunjung mengambil jalan mudah meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir perumahan itu.

Lebih memburukkan keadaan apabila ada kalangan penghuni sengaja membiarkan kenderaan buruk dan rosak mereka di petak parkir sedia ada.

Sehubungan itu, penduduk meminta supaya DBKL melaksanakan segera projek pembinaan parkir bertingkat seperti yang dirancang sebelum ini demi keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini