KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini monolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkannya menghadiri sidang Parlimen.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali membuat keputusan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu selepas mendapati tiada keperluan untuk Najib menghadiri sidang Parlimen.
“Ini bukanlah isu untuk mahkamah menghalang tertuduh daripada menghadiri sidang Parlimen sebaliknya tujuh pertuduhan yang dihadapi menjadi perkara utama. Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan untuk penangguhan prosiding perbicaraan oleh pihak pembelaan menangguhkan perbicaraan,” katanya.
Terdahulu, sejurus prosiding perbicaraan bermula, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya seorang Ahli Parlimen dan dia mempunyai tugas statutori untuk menghadiri sesi Parlimen.
Jelas Muhammad Shafee, anak guamnya perlu mengundi untuk dua Rang Undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan di Parlimen.
Ujarnya, usul yang akan dibahaskan di Parlimen membabitkan pengisytiharan harta bagi semua ahli Parlimen dan menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
“Kehadiran anak guam saya diperlukan kerana beliau merupakan ahli Parlimen yang perlu mengundi dalam isu tersebut. Anak guam saya mempunyai hak dan beliau perlu menghadiri sidang parlimen hari ini kerana terdapat kepentingan yang besar akan dibahaskan di parlimen. Permohonan anak guam kami munasabah memandangkan perkara ini memerlukan pembabitannya,” katanya.
Sementara itu, Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan membantah permohonan pihak pembelaan dengan alasan bahawa permohonan yang dibuat itu tidak relevan kerana kes SRC adalah kes penting dan nasional.
“Mahkamah sedia maklum, Najib adalah ahli Parlimen. Sekiranya seorang ahli Parlimen dikenakan tindakan undang-undang, dia harus mematuhi semua peraturan seperti tertuduh lain dan tiada sebarang layanan istimewa,” katanya.
Hari ini adalah hari ke-30 perbicaraan. – K! ONLINE










