KLANG 29 Jun – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa yang selama ini mencatat kes paling tinggi demam denggi di daerah ini kini bebas daripada wabak itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, R. Gunaraj berkata, kejayaan itu adalah hasil gotong-royong yang dilaksanakan oleh penduduk kampung dan taman perumahan di kawasan tersebut.
“Antaranya program melibatkan kariah surau di kawasan ini serta menggerakkan penduduk setempat untuk membersihkan longkang tersumbat yang dipenuhi dengan sampah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau telah meminta pihak berkuasa tempatan untuk tidak lagi mewujudkan kawasan pembuangan sampah secara berleluasa di sepanjang jalan utama.
“Bagaimana kebersihan boleh ditingkatkan jika orang dari luar kawasan Sentosa ini turut membuang sampah ke sini?
“Kita bekerja keras membuat kerja pembersihan, orang luar pula sesuka hati menjadikan kampung kita tong sampah mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











