JELEBU – Sebuah peluncur udara bermotor atau paramotor terhempas di satu kawasan dekat Purun, Kuala Klawang di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan maklumat orang awam, dua orang yang menaiki peluncur itu dipercayai mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Bagaimanapun, katanya, sehingga malam ini, tiada mangsa yang datang membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
“Semakan di hospital mendapati tiada mangsa mendapatkan rawatan ekoran kemalangan ini. Usaha mengesan mangsa masih dijalankan.
“Siasatan awal mendapati terdapat bangkai dipercayai paramotor yang hangus terbakar di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, polis telah memaklumkan kemalangan itu kepada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan. – UTUSAN ONLINE











