Kematian Benedict: Polis akan jalankan siasatan lanjut - Utusan Malaysia

Kematian Benedict: Polis akan jalankan siasatan lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan keterangan pegawai penyiasat dalam prosiding inkues di mahkamah mengenai kematian tahanan, Benedict Thanilas yang dilaporkan meninggal dunia di lokap Jinjang, di sini tiga tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh Penyelaras Program Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Mohammad Alshatri Abdullah mengenai parkara itu, Rabu lalu.

“Laporan polis yang dibuat berkaitan dengan keterangan pegawai penyiasat dalam prosiding inkues membabitkan kematian tahanan dalam lokap pada tahun 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan jalankan siasatan dan meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa sumber yang sah kerana dikhuatiri mengganggu siasatan pihak polis dan prosiding inkues yang masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, dua kumpulan sivil, Suaram dan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) mendakwa polis memusnahkan bukti penting seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rekod penting berhubung inkues siasatan kematian Benedict Thanilas yang mati dalam tahanan di lokap polis Jinjang, tiga tahun lalu.

Dalam prosiding inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner pada 26 Jun lalu, pegawai penyiasat, Shahruddin Rajab memberi keterangan bahawa rekod perubatan dan pendaftaran masuk untuk tahun 2017 telah dilupuskan.

Pegawai penyiasat tersebut turut memaklumkan rakaman CCTV bagi tempoh 26 Jun hingga 9 Julai 2017 tidak lagi disimpan di lokap Jinjang dengan alasan rakaman CCTV hanya boleh disimpan selama 2 bulan pada satu masa.

Kumpulan itu mendakwa ia adalah penghapusan bukti yang disengajakan dan bertentangan dengan Akta Polis 1967 dan peruntukannya kerana rekod-rekod berkenaan amat penting supaya punca kematian dapat dikenal pasti.

Benedict, 43, meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah pada 29 Jun 2017.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini