KJ masih berminat bertanding jawatan Presiden MPM - Utusan Malaysia

KJ masih berminat bertanding jawatan Presiden MPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan menunggu keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengenai tarikh baharu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Ke-22 dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan induk sukan atlet kurang upaya itu.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau masih berminat bertanding jawatan Presiden MPM sekiranya PJS memutuskan dirinya masih boleh bersaing untuk jawatan itu kelak.

“Saya akan ikut peraturan. Kalau dibuka semula (pencalonan), saya akan hantar borang. Kalau diteruskan dengan pencalonan yang lama (dan saya tidak layak kerana lambat menghantar borang), saya akan terima.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya hendak perkara ini selesai dengan baik dan jangan kemelut ini dipanjangkan,” katanya kepada para pemberita pada majlis sambutan Aidifitri beliau, isterinya, Nori Abdullah dan keluarganya di Kampung Gadong dekat sini hari ini.

KHAIRY JAMALUDDIN (tiga dari kanan) dan isteri, Nori Abdullah (empat dari kanan) menyambut tetamu ya
KHAIRY JAMALUDDIN (tiga dari kanan) dan isteri, Nori Abdullah (empat dari kanan) menyambut tetamu yang hadir dalam Majlis Sambutan Aidilfitri di Pondok Ar-Rahmah, Kampung Gadong di Rembau hari ini.- UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

MPM telah mengambil keputusan menangguhkan AGM Ke-22 yang sepatutnya berlangsung hari ini serentak dengan proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan induk sukan atlet kurang upaya itu.

Sebaliknya pada mesyuarat selama satu jam setengah yang dipengerusikan sendiri Presiden MPM sedia ada, SM Nasarudin SM Nasimuddin, majoriti ahli gabungan MPM telah bersetuju untuk memilih satu tarikh baharu yang akan ditetapkan PJS.

Ini selepas MPM membuat ketetapan supaya sebarang keputusan berkaitan AGM dan status pencalonan mereka yang ingin bertanding telah diserahkan sepenuhnya untuk dibuat badan yang mengawal selia semua persatuan sukan tersebut.

Khairy memberitahu, sebaik saja keputusan berkenaan tarikh AGM baharu dibuat, beliau berharap ia akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah selepas ini.

“Kali ini, perlu dinyatakan dengan jelas tarikh tutup untuk menghantar borang dan jangan ubah atau buka semula untuk elak masalah berulang.

“Saya tidak nampak di mana berlaku kontroversi sangat. Sebagai bekas menteri, saya tahu kalau sudah habis tempoh, kita tidak boleh lagi hantar borang,” ujarnya.

Beliau juga enggan memberi komen terhadap tuduhan bahawa beliau adalah kambing hitam yang dihantar untuk bertanding jawatan tertinggi MPM.

“Saya tidak tahu siapa yang buat dakwaan itu. Saya tidak suka buat tuduhan dan bertikam lidah dengan mana-mana calon yang lain. Tidak perlu saya keluar kenyataan terhadap mana-mana pihak,” ujarnya.

Jelasnya, ahli gabungan MPM tahu mengenai sumbangan dan rekod beliau semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini