PULAU PINANG – UMNO memberi jaminan Pas tidak akan dikhianati dalam kerjasama politik antara kedua-dua parti itu yang sedang direalisasikan ketika ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memastikan UMNO akan setia dengan piagam kerjasama dengan Pas yang akan ditandatangani kedua-dua pihak kelak.
Menurutnya, beliau memahami kebimbangan khususnya ahli akar umbi Pas terhadap kemungkinan parti itu dikhianati sekali lagi seperti pernah terjadi suatu ketika dulu sewaktu Pas pernah bersama UMNO.
“Saya akan pastikan pada kali ini dan seterusnya, Pas jangan risau, kita (UMNO) tidak akan pernah merungkai kerjasama ini.
“Saya akan pastikan selagi saya di dalam UMNO, Pas tidak akan tertipu seperti yang pernah berlaku dalam kerjasama dulu,” katanya.
Beliau berucap merasmikan mesyuarat dan persidangan perwakilan empat peringkat UMNO Bahagian Bukit Bendera di Batu Ferringi, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Seri Ahmad Ismail dan Yang Dipertua Pas Bukit Bendera; Halim Salleh.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyatakan sokongan kepada UMNO negeri untuk bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama Pas pada pilihan raya umum akan datang dalam mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, UMNO sebelum ini atas dasar kompromi dan persefahaman di dalam BN telah memberi laluan kepada parti komponen untuk menerajui pentadbiran negeri namun parti itu bertindak meninggalkan BN apabila tidak lagi berkuasa.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa menegaskan, UMNO dan Pas negeri kini dalam kesepakatan yang tinggi untuk bekerjasama merampas semula pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang termasuk dalam soal pembahagian kerusi DUN. – UTUSAN ONLINE











