Kenyataan 'luar kotak' menteri, 'politik lencongan' atau itulah realiti? - Utusan Malaysia

Kenyataan ‘luar kotak’ menteri, ‘politik lencongan’ atau itulah realiti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu hal kelewatan pesawat ke London, malam tadi tular cadangan pengambilan pekerja asing dari Afrika. Nampaknya tanpa diminta, ada saja bahan untuk ‘membawang’ sama ada dalam media sosial atau perbualan di rumah terbuka.

Malah jika diundurkan masa, cukup banyak untuk disenaraikan kenyataan ‘bola tanggung’ oleh pak-pak Menteri. Memang ramai anggota Kabinet muka baru tetapi ingat, majoriti mereka bergelumang dalam politik bertahun-tahun lamanya kecuali seorang dua masih mengajar beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Maka, takkanlah mereka tak boleh agak kesan kenyataan yang dibuat? Apa berlaku seolah-olah secara berjemaah mereka mengambil giliran ‘menyerah diri’ untuk dikecam warga maya menerusi kenyataan dan idea ‘luar kotak’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atau itulah realiti tahap mereka? Namun jangan lupa pada ungkapan popular bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Franklin D. Roosevelt, ‘tiada kebetulan dalam politik melainkan telah dirancang’.

Kata orang, ini ‘politik lencongan atau diversion’. Tujuannya bagi mengalihkan perhatian daripada isu utama dan perkara ‘bread and butter’ bagi manusia. Jika itulah tujuan, memang matlamat tercapai kerana yang jadi tajuk utama perbualan soal trivia, atau picisan tetapi menarik.

Soal kapal terbang menteri lewat atau soal nak ambil pekerja Afrika yang dibualkan. Harga sawit, keluh-kesah pesawah, pengangguran, kadar upah atau isu semasa politik seperti kerjasama rasmi Pas-UMNO akhirnya terkais tepi dalam perbualan seperti mana nasib asam keping dalam rendang atau kuah laksa yang menjadi menu di jamuan raya.

Atau, ada antara kenyataan itu dirancang bagi membuka perbahasan umum. Ini seperti isu Malaysia Airlines (MAS) oleh Mohamad Sabu, yang kemudian disambut banyak pihak dengan Perdana Menteri dan Penasihatnya turut mengulas hala tuju syarikat penerbangan kebangsaan itu. Mungkin tidak lama lagi, ada perkembangan konkrit nasib MAS.

Bagaimana pula dengan berita ‘timbang ambil pekerja asing dari Afrika’ semalam? Yang ini memang tidak perlu tubuh jawatankuasa untuk diteliti, rakyat tolak siang-siang lagi. Dari segi logik pun tidak nampak warga Afrika mana yang hendak bekerja di ladang dengan kadar upah semasa.

Yang kasihan rakyat. Di satu sisi diasak dengan perkembangan pendigitilan, perkomputeran serta automasi yang mengambil alih peranan manusia. Yang memerlukan tenaga manusia, dibawa pula warga asing selagi boleh bagi memenuhi tuntutan kapitalis. Bukan nak naikkan upah dalam sektor 3D.

Namun dari satu sudut, berita tersebut memang membuka perbincangan soal keperluan pekerja asing di ladang yang didakwa semakin mendesak. Maka, setelah cadangan peladang import dari Afrika dibantah, maka kerajaan dijangka berbalik kepada negara sumber tradisi pekerja asing.

Masalahnya negara serantau dikatakan makin kurang berminat bekerja di ladang, maka apakah Kementerian Sumber Manusia akan cadangkan warga Asia Selatan seperti Bangladesh atau India dibawa masuk lagi dan lagi? -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini