BANDAR BAHARU – Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) rintis yang pertama di utara tanah air dengan menggabungkan tujuh buah kampung di Kulim di sini, untuk projek penanaman jagung telah berjaya membuahkan hasil.
Tujuh kampung terpilih bagi Prospek Rintis itu ialah Kampung Ujung Padang, Kampung Guar Lobak, Kampung Sentosa, Kampung Sidam Kanan, Kampung Bukit Sidam, Kampung Keda dan Kampung Telok Sera.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, projek tersebut yang telah dimulakan pada awal tahun ini menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), kini sudah boleh dituai hasilnya.
Kata beliau, sehingga kini seramai 50 orang penduduk terlibat dalam projek tersebut yang membabitkan kawasan seluas lebih 21 hektar yang sebelum ini terbiar tanpa diusahakan.
“Inilah hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kita menggabungkan kawasan pertanian yang kecil supaya lebih efisien untuk diuruskan dan di Kulim ini, kita pilih tanaman jagung kerana potensinya yang luas.
“Bukan sahaja buah jagung tetapi pokok, daun dan batang pokok ini boleh diproses untuk makanan ternakan, malah pasaran untuk hasil tanaman juga sudah ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Serdang Lake View Resort di Serdang di sini, hari ini.
Terdahulu Rina mengadakan lawatan untuk meninjau perkembangan Prospek di Kampung Sidam di sini diikuti dengan Desa KEDA Leret Bandar Baharu di sini.
Dalam pada itu, Rina berkata, beliau mahu pertumbuhan ekonomi kawasan luar bandar dipacu oleh masyarakat itu sendiri bagi menaik taraf hidup dan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.
Katanya, selain Kulim, Prospek rintis dipantai timur turut dijalankan di Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu yang melibatkan ternakan ikan secara bersepadu oleh penduduk kampung.
“Sekiranya berjaya kelak, kita mahu projek rintis ini diperluas ke kawasan lain,” katanya lagi.
Sementara itu, Serdang Lake View Resort yang pertama di daerah ini itu mempunyai sebanyak 33 buah bilik, dua buah asrama lelaki dan perempuan serta sebuah dewan.
Ia diuruskan oleh anak syarikat KEDA iaitu KEDA Resort & Holidays Sdn. Bhd. – UTUSAN ONLINE











