KUALA TERENGGANU – Petronas memperuntukkan sebanyak RM156 juta bagi membiayai keperluan pendidikan 400 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 termasuk 40 orang dari negeri ini yang terpilih melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka tempatan dan luar negara, tahun ini.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulannya, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman berkata, pembiayaan bagi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) itu membabitkan pelajar pengajian kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, geofizik, undang-undang dan kursus lain berkaitan minyak dan gas sama ada di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Kanada, Jepun dan China.
Katanya, melalui PESP yang diperkenalkan sejak tahun 1975 itu Petronas menaja pengajian pelajar bermula dari peringkat pra-universiti sehingga ke ijazah sarjana muda.
“Sehingga kini lebih 36,800 pelajar cemerlang di negara kita telah menerima penajaan PESP membabitkan nilai tajaan lebih RM3.3 bilion. Apa yang lebih membanggakan adalah melihat graduan tajaan Petronas yang kini menjadi golongan profesional, memegang jawatan penting dalam sektor kerajaan dan swasta, malah ada yang menjadi pemimpin berkarisma dan disegani.
“Peruntukan ini diteruskan kerana kami percaya para pelajar inilah yang akan meneruskan legasi dan bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan sekali gus mengekalkan kemampanan landskap ekonomi negara. Ini secara tidak langsung menjadi wadah bagi Petronas membantu dalam pembinaan negara bangsa yang inklusif lagi berdaya maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah PESP 2019 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dekat sini, hari ini.
Menurut Raiha Azni, sejak tahun 2003, seramai 842 anak jati Terengganu ditaja di bawah PESP dengan tahun ini seramai 40 orang telah terpilih menerima manfaat tersebut membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM12.4 juta.
Katanya, tahun ini PESP telah menerima lebih 7,300 permohonan dan daripada jumlah itu, seramai 1,800 calon telah disenarai pendek dan dipanggil menghadiri sesi ujian serta temuduga yang dikenali sebagai Petronas Youngstars Day pada pertengahan April lalu dengan siri ujian dan temuduga yang menggunakan sukatan piawaian antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, katanya, Petronas komited melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi kesan meluas dan lebih mendalam kepada seluruh komuniti di Malaysia berdasarkan tiga teras utama iaitu sentuhan ilmu, harapan dan alam.
Beliau berkata, di Terengganu misalnya pelbagai program pendidikan dilaksanakan antaranya Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 orang anak negeri sejak 2003 di samping Program Sekolah Amanah di 10 buah sekolah dalam Kluster Kijal dan Kluster Marang, Bantuan Penajaan dan Latihan Institut Vokasional (Vista) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) serta Program Transforming English Terengganu (Trenglish). – UTUSAN ONLINE











