MELAKA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu meminda perlembagaannya terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan bagi mencari pemimpin yang mampu memperkembangkan parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya berkata, beberapa klausa dalam perlembagaan parti perlu diubah bagi memastikan Bersatu yang baru ditubuhkan lebih dua tahun dapat diperkukuhkan.
Katanya, selepas pindaan dibuat, barulah parti itu boleh mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin berkualiti, bukan dilantik seperti sebelum ini.
“Kita sekarang dalam proses meminda perlembagaan parti dan pada Julai ini perubahan besar itu akan berlaku melibatkan beberapa klausa.
“Apabila selesai pindaan itu yang akan dibuat menerusi mesyuarat agung tahunan parti, baru kita akan umumkan tarikh pemilihan cawangan dan bahagian,” katanya.
Marzuki ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Melaka dan perasmian pejabat Bersatu negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini petang ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam mengakui pemimpin berasaskan lantikan dalam parti itu tidak berjaya mengembangkan parti tersebut.
Sehubungan itu, beliau merangkap Pengerusi Bersatu berpendapat pemilihan parti perlu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan masa kini adalah dilantik. – UTUSAN ONLINE











