LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp diberi had sehingga 20 juta pound (RM105 juta) sahaja untuk mendapatkan penyerang baharu yang boleh digandingkan dengan Mohamed Salah dan Sadio Mane.
Dua bintang Reds itu berkongsi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris bersama penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang selepas meledak 22 gol.
Menurut akhbar The Mirror, Liverpool mencari beberapa pemain dalam pasaran perpindahan untuk memastikan pasukan itu memiliki barisan simpanan berkualiti bagi menghadapi musim baharu.
Liverpool sebelum ini menolak spekulasi bahawa mereka berminat menandatangani pemain sayap Lille, Nicolas Pepe pada harga 70 juta pound (RM369 juta).
Mereka sebaliknya lebih berminat mencari pemain serba boleh pada harga sederhana seperti yang dilakukan ketika membawa masuk Xherdan Shaqiri dari Stoke City pada harga hanya 13.5 juta pound (RM71 juta) musim lalu.
Biarpun lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya membuat 38 penampilan dalam semua pertandingan, Shaqiri, 27, memainkan peranan besar dalam beberapa perlawanan penting.
Malah, dia antara tonggak yang membantu Liverpool merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara, selain naib juara Liga Perdana Inggeris. – AGENSI











